TANGGUNGJAWAB PENGGUNA MEDIA SOSIAL

PENGENALAN

Media sosial merupakan satu rangkaian komunikasi diatas talian (online) yang dapat menghubungkan para pengguna dari serata dunia. Media sosial juga telah mendapat perhatian setiap peringkat umur masyarakat seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin maju. Golongan remaja khususnya melihat media sosial sebagai satu trend terkini untuk mengisi aktiviti pada waktu lapang di samping bersosial di alam maya. Ia datang dalam pelbagai format termasuk blog, rangkaian sosial, forum dan dunia maya di mana ia membolehkan pemuatnaikan dan perkongsian karangan, gambar, video, audio dan grafik sesama rakan sepenguna yang boleh memberi maklum balas secara terbuka dalam masa yang lebih cepat dan tidak terhad ruang berbanding media tradisional. Di sebalik banyak kebaikan dalam media sosial yang dilihat pada hari ini, media sosial juga memberikan impak keburukan kepada kita semua. Jika disalahgunakan, ia membinasakan. Hal ini menyebabkan tanggungjawab pengguna media sosial dalam meghadapi isu-isu kotemporari mengenai media sosial semakin berleluasa.


ISI - ISI


Sejak kebelakangan ini, memeriksa kebolehpercayaan maklumat adalah satu langkah yang krusial dalam dunia di mana maklumat berleluasa dihujung jari kita. Dalam era informasi yang begitu pesat, kita dibanjiri dengan pelbagai maklumat dari pelbagai sumber. Walau bagaimanapun, tidak semua maklumat itu benar atau boleh dipercayai. Hal ini demikian kerana ramai pengguna media sosial tidak mempunyai kesedaran bahawa mereka sedang menerima atau menyebarkan berita palsu kerana mereka tidak endah untuk periksa kebolehpercayaan sumber sebelum menyebarkan. Dengan itu, pengguna yang bertanggungjawab mestilah mendapatkan kepastian terlebih dahulu sama ada maklumat itu benar ataupun tidak sebelum menyebarkan maklumat yang diberi kepada pengguna lain. Justeru, pemahaman yang lebih baik tentang risiko penyebaran berita palsu merupakan tanggungjawab bersama pengguna media sosial untuk memastikan informasi yang tepat dan boleh dipercayai disampaikan kepada orang ramai.

   


Lain daripada itu, di tengah kebebasan berkomunikasi yang luas terdapat dilema yang sering pengguna media sosial hadapi iaitu antara pendedahan diri dan privasi. Pada satu sisi, pendedahan diri di media sosial membolehkan kita berinteraksi dengan orang lain dan berkongsi cerita. Ini dapat memperkukuhkan hubungan sosial dan membantu kita membina jaringan yang bermanfaat. Namun, pengguna media sosial harus mengambil berat tentang betapa penting untuk mereka memahami batasan privasi. Hal ini demikian kerana terlalu banyak pendedahan diri berlaku di dalam media sosial. Disebabkan itu, kegiatan jenayah seperti pencabulan privasi ataupun penyalahgunaan maklumat peribadi semakin berleluasa sekaligus meningkatkan rekod jenayah di Malaysia. Penting juga untuk pengguna media sosial memahami dari segi psikologi akibat pendedahan diri yang berlebihan boleh mencetuskan tekanan sosial. Dalam dunia digital yang semakin berkembang, kebijaksanaan dalam berkongsi adalah kunci untuk menangani isu ini. Kesudahannya, pengguna media sosial haruslah menjaga privasi diri dan mempunyai kesedaran tentang kesannya agar keselamatan kita di dunia maya terjaga dan harmoni.


  


         Pada waktu yang sama, buli siber juga merupakan isu kotemporari berkaitan dengan tanggungjawab pengguna media. Buli siber merupakan fenomena yang merujuk kepada pengguna media sosial melakukan perkara yang merendahkan dan mengganggu individu lain secara berulang dalam pelbagai bentuk keganasan emosi, fizikal atau psikologi. Pengguna media sosial yang mempunyai kuasa untuk menghina mahupun mengugut mangsa tanpa pengetahuan awam atau kesedaran tentang kesedaran kepada mangsa. Mereka juga sering menyebarkan fitnah gosip ataupun gambar palsu yang bertujuan merosakkan reputasi atau imej seseorang. Hal ini bukan saja memberikan kesan emosi kepada mangsa malah perbuatan itu juga boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan lebih teruk lagi mangsa terdetik untuk putus asa atau kehilangan nyawa akibat tekanan daripada pelaku. Mereka yang menjadi saksi buli siber di media sosial harus pertahankan mangsa daripada terus dibuli dengan teruk dan laporkan kepada pihak berkuasa. Sebagai pengguna media sosial yang bertanggungjawab seharusnya mempunyai inisiatif untuk mencegah kegiatan buli siber daripada terus berleluasa.




        Begitu juga dengan kebebasan bersuara tanpa batas di media sosial. Oleh sebab itu, ia memberikan peluang kepada individu untuk menyuarakan pendapat atau menyampaikan idea yang berlainan. Namun begitu, kebebasan bersuara tanpa batas di media sosial berpotensi merosakkan perpaduan rakyat terutamanya apabila melibatkan sentimen agama atau bangsa. Hal ini demikian kerana orang ramai berani menyatakan pandangan sendiri dengan menggunakan perkataan - perkataan negatif yang tidak mengambil kira sentimen agama dan bangsa dalam negara Malaysia. Dapat dilihat juga kritikan, hinaan dan hamburan secara bebas terhadap institusi beraja walaupun ia merupakan prinsip kedua rukun negara yang harus difahami dan dihayati oleh seluruh warganegara. Ramai juga pengguna yang tidak mematuhi etika berkomunikasi dan mereka memberi komentar tanpa adab dengan tidak mengenal pihak – pihak yang dikritik hingga menjatuhkan maruah dan reputasi. Kesannya, kebebasan tanpa batas menyebabkan ketidakpuasan hati sesuatu bangsa dan akan mewujudkan sikap prejudis antara satu sama lain.


KESIMPULAN

        Natijahnya, pengguna media sosial yang bertanggungjawab perlulah sentiasa peka dalam isu-isu kotemporari seperti mengelakkan penyebaran berita palsu, menjaga privasi, menangani buli siber dan menggunakan kebebasan bersuara dengan beretika. Hal ini demikian kerana media sosial merupakan alat komunikasi yang kuat dan berdaya saing dalam membawa pelbagai kebaikan dan keburukan. Kesedaran dan pedekatan yang bijak amatlah penting dalam penggunaan media sosial untuk memastikan harmoni, keselamatan dan keadilan dalam interaksi maya. Dengan itu, media sosial dapat memberikan impak positif kepada masyarakat secara menyeluruh dengan hanya pendekatan yang matang dan bertanggungjawab.


PANDANGAN PENULIS

Sebagai penulis, saya percaya bahawa setiap individu yang aktif dalam platform media sosial perlu memahami impak serta tanggungjawab yang melekat dalam penggunaan mereka. Tanggungjawab pengguna media sosial dalam isu-isu kontemporari adalah suatu aspek yang kini semakin penting untuk dipertimbangkan. Oleh itu, pengguna media sosial haruslah menjalankan peranan agar keharmonian masyarakat terjamin.


REFLEKSI

Impak yang didapati dari perbincangan ini menunjukkan bahawa pengguna media sosial yang bertanggungjawab dapat memainkan peranan penting dalam memerangi isu kotemporari sekaligus dapat menjaga kesejahteraan antara individu di media sosial.

Comments